Posted by: anakcucukita | July 22, 2008

Kekuasaan dan Ketuanan Melayu Di Malaysia – Sejarah yang harus sentiasa diingatkan

Ramai orang memberi reaksi yang pelbagai apabila orang Melayu cuba menyuarakan tentang kekuasaan Melayu di negara Malaysia. Apa yang amat dikesalkan, orang Melayu sendiri juga ada yang memberi pandangan yang sinis apabila perkara ini dihujahkan. Ada yang mengangggap bahawa ianya bercanggah dengan konsep ‘demokrasi’ barat dan tidak kurang juga beranggapan bahawa ianya diadakan untuk mengalih pandangan rakyat ke atas sesuatu isu.

Mengapa perlunya isu ini disingkap semula di dalam blog ini? Penulis beranggapan bahwa sejarah hak-hak keistimewaan orang-orang Melayu perlu diterangkan kepada generasi muda yang sudah mula lupa sejarah bangsanya.

Sejarah negara kita memperlihatkan kebanjiran orang-orang Cina dan India ke Tanah Melayu berlaku di sekitar tahun 30-an hasil dari dasar kerajaan Inggeris yang cuba untuk mengeksploitasi kekayaan sumber asli di negara kita. British sedar bahawa pendatang-pendatang asing ini tidak akan menggugat kestabilan politik dan ekonomi penjajah oleh kerana penjajah memberi peluang pekerjaan dan perniagaan kepada mereka. Hal yang sama juga diamalkan oleh pihak Inggeris di negara-negara kolonial mereka termasuklah di negara-negara Afrika seperti Uganda dan Kenya. Berbeza dengan keadaan di negara kita, setelah British meninggalkan negara-negara tersebut, pendatang-pendatang (India) diusir keluar. Ini disebabkan kerana kerajaan di beberapa buah negara Afrika menganggap bahawa kekuasan ekonomi yang dipegang oleh kaum India itu menyebabkan kegelisahan di kalangan anak negeri yang kebanyakannya miskin.

Orang-orang Melayu boleh menerima pendatang asing seperti Cina dan India asalkan mereka menghormati kedaulatan raja-raja Melayu dan kekuasaan Melayu di negeri-negeri Melayu. Orang Melayu berpendapat bahawa orang Cina dan India mempunyai negara asal, manakala orang Melayu tidak punya negara asal kecuali Tanah Melayu. Hidup mati mereka adalah di Tanah Melayu.

Radikalisme Melayu dalam politik bertambah di ketika penjajahan Jepun. Walaupun pemerintahan Jepun zalim, namun ia bertanggungjawab menyedarkan orang Melayu tentang kemerdekaan. Orang-orang Cina memusuhi Jepun kerana Jepun menakluki Negara China dan bersikap kejam terhadap masyarakat mereka. Sebenarnya Jepun kejam terhadap semua bangsa yang dijajahi mereka.

Parti Komunis Malaya (PKM) ditubuhkan bukan sahaja untuk menghancurkan Jepun, tapi juga mereka menentang kerajaan British yang yang hendak kembali berkuasa. Matlamat utama PKM ialah untuk menguasai pemerintahan Tanah Melayu dan menjadikan negara ini sebagai negara komunis. Orang Melayu yang beragama Islam dan mempunyai raja-raja Melayu tidak dapat menerima kekuasaan Bintang Tiga. Oleh kerana majoriti PKM terdiri dari orang Cina, maka gambaran kepada orang Melayu ialah Cina mahu berkuasa dan menghancurkan kekuasaan Melayu dan raja-raja Melayu di negara ini.

Orang-orang Cina dan India berasa bimbang tentang nasib mereka selepas Perang Dunia Kedua. Orang Melayu sudah mula menubuhkan parti-parti politik untuk memperjuangkan nasib mereka. Slogan-slogan “Hidup Melayu” bergema di seluruh pelusuk negara.

Melalui Pesuruhjaya Tinggi British, McMichael, konsep Malayan Union di perketengahkan kepada raja-raja Melayu. Melalui konsep ini, hak dan kekuasaan raja-raja melayu di hapuskan, semua rakyat tanpa mengira bangsa, mempunyai hak yang sama dan tanah melayu menjadi tanah jajahan British selama-lamanya. Politik jangka panjang British ialah menghapuskan kedaulatan raja-raja Melayu supaya setiap warganegara Tanah Melayu, tanpa mengira bangsa mempunyai hak untuk menjadi Ketua Negara.

Walaupun begitu, Melayu bukanlah bodoh. Orang-orang Melayu bangun menentang gagasan Malayan Union. Melayu menganggap kekuasan politik adalah hak kepunyaan orang Melayu dan mereka sendirilah yang akan menentukan nasib mereka. British tidak dapat lagi bertahan lama untuk menjajah Tanah Melayu. Mereka terpaksa mengalah kerana bimbang pemberontakan dari orang Melayu. Akhirnya McMichael terpaksa menarik balik gagasan tersebut.

Pada tahun 1948, Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan. Dalam tahun yang sama, kerajaan mengisytiharkan darurat seluruh negara kerana keganasan Komunis yang kian bertambah. Mereka membunuh Sir Henry Gurney, Pesuruhjaya Tinggi pada waktu itu. Setelah British gagal mendapatkan persetujuan dari Melayu tentang rancangan Malayan Union, komunis melancarkan gerakan gerila. Oleh kerana gagal dilaksanakan dasar hak sama rata dari gagasan Malayan Union, alternatif lain ialah secara kekerasan.

Walaupun berpegang kepada ideologi komunis yang tidak mementingkan bangsa dan memperjuangkan hak sama rata berdasarkan Marxisme, namun kepada orang Melayu, komunisme itu adalah anti Islam. Cinta kepada Islam, bangsa dan raja-raja Melayu menyebabkan Melayu tidak mahu berkompromi dengan komunis. Mereka sanggup menghadapi apa saja risiko hatta pertumpahan darah sekalipun demi menyemarakkan perjuangan Melayu tersebut.

British meletakkan syarat bahawa kemerdekaan Tanah Melayu mestilah berdasarkan kerjasama dan perkongsian kuasa antara melayu dan bukan melayu. Atas dasar muhibbah dan baik hati inilah UMNO, MCA dan MIC bersatu tenaga menubuhkan Parti Perikatan di mana Melayu, Cina dan India bersama-sama memperjuangkan kemerdakaan tanah air. Atas persefahaman ketiga-tiga parti, Parti Perikatan berjaya memenangi pilihanraya pertama pada tahun 1955 dan Tunku Abdul Rahman dilantik menjadi Perdana Menteri yang pertama.

Atas dasar muhibbah, UMNO sanggup memberi kerakyatan ‘jus soli’ kepada bukan melayu dengan syarat bermastautin tidak kurang dari 10 tahun. Kerakyatan secara automatik diberikan kepada setiap keturunan bukan Melayu yang lahir selepas kemerdekaan.

Pihak bukan Melayu pula pula mesti menerima hak istimewa orang-orang Melayu, agama Islam sebagai agama rasmi negara, Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan kedaulatan raja-raja Melayu. Semangat toleransi, memberi dan menerima mestilah datang dari kedua pihak. Saling pengertian dan pemahaman yang baik tentang nilai budaya, aspirasi politik serta kedudukan orang melayu dalam konteks sejarah negara ini patutlah diambilkira sebelum mencabar kekuasaan Melayu.

Pertalian politik antara Melayu dan bukan Melayu adalah berdasarkan “gentlemen agreement”. Persefahaman di antara ketiga-tiga bangsa tersebut dengan sendirinya mengakui kekuasaan politik Melayu di mana kepentingan hak istimewa Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, agama Islam sebagai agama rasmi dan kedaulatan raja-raja Melayu adalah hak yang tidak boleh dipertikaikan lagi. Bilamana bukan Melayu mempertikaikan kekuasan politik orang Melayu dan cuba membentuk sejarah baru dengan membelakangkan orang Melayu, maka bermulalah tercatatnya satu titik hitam dalam perhubungan kaum di negara ini. Lagi menyedihkan ada juga Melayu dari golongan cerdik pandai yang menidakkan kepentingan institusi beraja dewasa ini. Sebarang penulisan atau komen mengenai nasib Melayu atau hak-hak Melayu dikatakan berunsur perkauman ataupun ‘racist’. Ada kemungkinan juga penulisan ini bakal dicop dengan label yang sama. Tapi tidak terniat di fikiran penulis yang dikelingi rakan-rakan rapat dari pelbagai kaum untuk bersifat sedemikian melainkan untuk menyedarkan bangsa sendiri akan hak-hak dan nilai-nilai yang perlu mereka kekalkan.


Responses

  1. Tidak dinafikan ada segelintir pemimpin melayu yang merampas hak melayu demi “survival” politik mereka


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Categories

%d bloggers like this: