Ramai orang Melayu sebenarnya sayangkan UMNO. UMNO menjadi penaung orang Melayu selama ini. Dari penentangan Malayan Union hinggalah kepada kemajuan bangsa yang dikecapi sekarang.
Namun kini perkara sebaliknya berlaku. Orang-orang Melayu sudah tidak melihat lagi UMNO sebagai tempat mereka bergantung. Ini kerana rakyat kebanyakan amat marah kepada sebilangan pemimpin-pemimpin UMNO.
Kedudukan UMNO dalam politik Malaysia selama ini sangat selesa. Ini membuatkan UMNO dihinggapi parasit-parasit yang menghisap darah organisasi tersebut. Golongan parasit ini menghinggapi UMNO bukan untuk memberi kekuatan tambahan kepada UMNO dan berjuang untuk bangsa melayu, sebaliknya mereka hinggap untuk menikmati kesenangan serta mencapai matlamat peribadi.
Politik UMNO sekarang sudah mula tersasar dari politik perjuangan bangsa sepertimana tujuan asal ianya ditubuhkan. Bahkan ada ahli-ahli UMNO sendiri yang tidak tahu sejarah penubuhan dan perjuangan UMNO. Politik UMNO kini ialah politik ‘coffe house’, politik Hilton, Pan Pacific, politik Mercedes dan BMW. Perkataan seperti maruah bangsa, Islam dan Melayu sudah terhakis dari hati kebanyakan mereka. Perkataan-perkataan yang ada dalam kotak fikiran mereka ialah tender, projek, kroni, kabel dan sebagainya.
Golongan parasit yang ada pada UMNO ini memakai topeng yang berwarna-warni. Mereka terlalu banyak berpura-pura. Mereka berlakon dan menari menurut rentak yang disenangi oleh pucuk pimpinan parti. Mereka sanggup lakukan apa saja asalkan matlamat mereka tercapai. Bodek dan cium tangan itu sudah menjadi perkara biasa.
Organisasi UMNO semakin hari menjadi semakin lemah. Kalau UMNO ingin menjadi kuat dan perkasa, ia perlu memperteguhkan kekuatan dalam tubuh badannya terlebih dahulu. Kekuatan dalaman tidak akan hidup dan subur kalau tubuh UMNO dihinggapi parasit yang mewarnai masa depan Melayu.
Ramai pemimpin suka bercakap tentang pengorbanan. Tapi siapakah yang sebenarnya berkorban dan siapa pula yang banyak dijadikan korban? Selalunya rakyat diminta berkorban apalagi dalam keadaan ekonomi negara yang tidak menentu. Tetapi adakah para pemimpin–pemimpin kita yang bijaksana dan separuh bijaksana turut sama berkorban? Selalunya rakyatlah yang paling banyak berkorban demi kepentingan negara, bangsa dan agama. Dan selalunya rakyat juga yang menjadi korban bilamana pemimpin-pemimpin tidak dapat menunaikan tanggungjawab dengan cekap dan amanah.
UMNO akan hilang kuasanya sekiranya pucuk pimpinanya lebih mementingkan diri dari perjuangan bangsa. Kalau ahli-ahli UMNO berpegang teguh pada kekuatan Islam dan cinta yang tulus ikhlas kepada bangsa, maka mereka mesti bangun serentak dan menegur perbuatan curang yang dilakukan oleh para pemimpin parti dan negara. Mereka harus berpegang kepada prinsip perjuangan yang tulen. Iaitu mempertahankan kekuasan Melayu dan memperteguhkan lagi cita-cita Islam.
Kerana UMNO, Melayu masih dapat mempertahankan kekuasaanya. Kerana UMNO juga ramai cerdik-pandai, golongan professional dan usahawan melayu dilahirkan untuk bersaing sama taradengan bangsa lain. Tetapi tidak mustahil juga suatu hari nanti, kerana disebabkan segelintir pemimpin UMNO, Melayu akan kehilangan kuasanya.
Adakah kita mahu serahkan nasib bangsa kita kepada bangsa lain untuk mengurus dan menentukan? Bila tiba masa itu nanti, sesal sudah tidak berguna lagi.
Recent Comments